Ahad, 16 Disember 2012

#3 Rusmah Malu Keluar Rumah - Padah Produk Pemutih

RUSMAH (bukan nama sebenar) malu untuk keluar dari rumah dan berjumpa dengan masyarakat umum. Kerana apa? Kerana kulit mukanya. Teruskan membaca untuk mengikuti kisah seorang wanita muda yang berusia lebih kurang 25 tahun ini.

Dalam catatan kali ini, saya akan kongsikan satu kisah benar kepada sidang pembaca, laporan kisah ini diterbitkan dalam akhbar tempatan beberapa tahun yang lalu (maaf tak ingat akhbar mana, hanya simpan keratan akhbar sahaja). Rusmah sebenarnya ialah seorang daripada ramai mangsa "produk kecantikan yang bermasalah." Kisahnya seperti ini - Rusmah mempunyai masalah jerawat yang teruk, oleh itu dia malu untuk berjumpa dengan orang. Tetapi seperti ramai orang lain, Rusmah tidak berputus asa untuk mencari produk yang sesuai dan berkesan untuk mengatasi masalahnya itu. Rusmah begitu cerewet dalam memilih kosmetik, pencuci muka, dan sebagainya. Yalah, siapa tidak mahu kelihatan cantik, lagi-lagi pada usia muda seperti Rusmah ini.

Suatu hari, satu iklan produk pemutih kulit oleh sebuah syarikat telah menarik perhatian Rusmah. Syarikat tersebut menjanjikan keberkesanan produk keluarannya dalam masa yang singkat sahaja iaitu dua minggu. Dikuatkan lagi dengan testimoni-testimoni dari pengguna terdahulu yang kononnya telah memakai dan terbukti berkesan mencantikkan wajah mereka, dan ditambah dengan gambar-gambar yang begitu meyakinkan. Rusmah jadi percaya, dan terus membeli dan menggunakan produk tersebut  tanpa ragu-ragu.

Betul masalah kulit Rusmah berkurangan, keadaan kulit wajahnya bertambah baik. Kulitnya mengelupas dan menghilangkan hitam pada wajahnya. Selepas dua minggu, Rusmah kelihatan seperti remaja kembali. Tetapi kegembiraan itu tidak bertahan lama, selepas dua bulan, kulitnya terus mengelupas dan mula terasa pedih. Keadaan kulitnya menjadi seakan-akan melecur, dan mengeluarkan darah. Keadaan ini berlanjutan selama tujuh bulan. Apabila dirujuk kepada wakil jualan syarikat tersebut, mereka hanya memberitahu perkara itu ialah biasa, dan mungkin jerawatnya yang semakin teruk, yang mana dalam keadaan apa sekalipun, mereka menyarankan Rusmah untuk terus menggunakan produk tersebut.


Seperti kelihatan dalam gambar, kulit Rusmah seakan-akan melecur.

Akhirnya Rusmah menghentikan penggunaan produk tersebut, dan pergi untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor. Dengan rawatan terapi kulit, wajahnya beransur pulih, tetapi telah memakan kos yang agak tinggi. Dan selepas berbulan-bulan rawatan, wajahnya hampir normal kembali. Rusmah dilaporkan serik menggunakan produk seperti itu lagi.

Pembaca yang saya hormati, ini ialah satu contoh daripada banyak lagi kes seumpamanya. Dalam kes ini, Rusmah yang menjadi mangsa keadaan akibat penggunaan produk pemutih. Produk tersebut tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan sebenarnya telah dicemari racun iaitu Hydroquinone. Saya berharap supaya kes-kes seperti ini tidak lagi berulang kepada mana-mana masyarakat di Malaysia ini. Janganlah kita menjadi mangsa kepada pihak-pihak tertentu yang hanya mengejar keuntungan.

Dalam catatan yang akan datang, saya akan kongsikan maklumat-maklumat seperti bagaimana kita dapat mengetahui sama ada produk itu berdaftar atau tidak, apakah itu racun dan contoh racun yang selalu dicemarkan dalam produk, dan banyak lagi informasi berguna untuk kita bersama agar kita dapat melindungi diri kita daripada menjadi mangsa yang seterusnya. Pengetahuan yang bermanfaat ialah pelindung kita dalam hal ini.


Admin - saya harap kita semua sedar akan keperluan pengawalan dalam produk kesihatan dan kecantikan di pasaran, ianya bertujuan untu melidungi pengguna supaya mendapat produk yang berkesan dan selamat digunakan. jangan jadi mangsa produk tiruan atau produk dicemari racun.  nota: kisah di atas telah saya tokok tambah supaya lebih sesuai untuk bacaan umum dan supaya dapat menggambarkan situasi sebenar yang biasa terjadi kepada ramai orang. Teruskan bersama blog ini untuk lebih informasi berguna.

Rabu, 12 Disember 2012

#2 Menguatkuasakan Undang-Undang: Ini Aktanya


PENGUATKUASA Farmasi, apakah Akta yang dikuatkuasakan? Apa lagi, akta-akta yang berkenaan farmasi lah. =D. Dalam post kali ni, saya akan kongsikan apakah akta-akta dan peraturan-peraturan yang kami, di Penguatkuasa Farmasi, kuatkuasakan.

Saya mulakan dengan menerangkan dahulu, apakah Objektif Penguatkuasaan Farmasi.

"Memastikan semua keluaran farmaseutikal yang berada di pasaran adalah selamat, berkesan dan berkualiti,

serta iklan ubat dan perkhidmatan perubatan mematuhi akta-akta dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan,

dan juga meningkatkan kesedaran pengguna ke atas penggunaan ubat yang berdaftar."

Akta-akta berkaitan farmasi yang sedang berkuatkuasa sekarang ialah,

Akta Racun 1952 dan Peraturan-peraturannya
Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturannya
Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan Peraturan-peraturannya
Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan-peraturannya
Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 dan Peraturan-peraturannya

Mungkin pembaca yang mempunyai latar belakang undang-undang, ataupun pihak penguatkuasa lain sepeti Polis DiRaja Malaysia, biasa mendengar Akta-akta ini. Tetapi masyarakat secara umumnya (saya juga, sebelum bergelar Penguatkuasa Farmasi), tidak sedar akan kewujudan, keperluan, kepentingan, dan kegunaan akta-akta dan peraturan-peraturan tersebut.

Diwujudkan akta-akta tersebut, serta peraturan-peraturannya yang berkaitan, secara umumnya, adalah  untuk melindungi pengguna (kita semua). Setiap akta mengawal perkara-perkara yang tertentu, seperti keperluan produk berdaftar, kawalan bahan racun, dan sebagainya. Saya akan berkongsi secara lebih mendalam mengenai beberapa akta-akta tersebut, supaya kita lebih jelas dan memahami perkara-perkara yang penting, yang terlibat dalam kehidupan seharian kita, terutama sekali yang melibatkan penggunaan ubat-ubatan serta produk-produk kesihatan. Tetapi...bukan sekarang, nanti post ni panjang sangat. Teruskan membaca blog ini untuk perkongsian-perkongsian yang selanjutnya.


Admin - saya pasti anda atau saudara-mara anda, sedang ataupun pernah mengambil ubat-ubatan. Baik ubat untuk penyakit, atau produk kesihatan yang lain, tetapi adakah anda pasti ianya selamat untuk diambil? Dengan izin Allah, saya akan mengupas tajuk seperti ini lagi, dalam post yang mendatang. Terima kasih dan terus semak blog ini untuk post terbaru!

Isnin, 10 Disember 2012

#1 Kuatkuasa Farmasi : Tugasan Baru Saya




PERNAH dengar Penguatkuasaan Farmasi? Selaku graduan dalam bidang Farmasi, sudah tentu saya pernah. Jika pembaca juga ada latar belakang farmasi, mesti pernah dengar. Tetapi orang awam, ada yang pernah dengar, ada yang tidak pernah dengar langsung, apatah lagi peranan dan tanggungjawab penguatkuasa farmasi ni.

UNTUK maklumat pembaca, saya ni baru sahaja dilantik menjadi pegawai penguatkuasa farmasi. Saya masih sangat baru dalam perkhidmatan ini. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah, adakah saya
akan jadi ala-ala polis? Haha, betul, sebab perkataan "Penguatkuasa" tu. Reaksi rakan-rakan lain juga pelik, apabila saya sebut "penguatkuasa farmasi" kepada mereka, mereka terdiam, seakan-akan tergamam, kerana tak dapat kaitkan bidang farmasi (sebab dalam fikiran mereka, farmasi ni kerja di kaunter farmasi, berkaitan ubat-ubatan, dan tugas-tugas klinikal), dengan aktiviti kuatkuasa (macam polis). Langsung tak ada kaitan!

FARMASI tidak terhad kepada kerja-kerja klinikal sahaja, ada juga bidang tugasnya yang melibatkan pengurusan, perolehan, regulatori, dan pelbagai lagi. Salah satu antaranya ialah Penguatkuasaan. Setelah beberapa hari melapor diri ke pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, baru saya sedar, dan tahu, tujuan penguatkuasaan farmasi ni. Saya akan kongsikan dalam post yang akan datang.

BLOG ini ialah blog peribadi, dan bukannya blog rasmi kerajaan atau mana-mana agensinya. Oleh itu, pembaca adalah diingatkan supaya membaca blog ini untuk tujuan santai dan menambah pengetahuan sahaja. Jangan jadikan blog ini sebagai sumber rujukan dalam aktiviti penguatkuasaan farmasi. Maklumat dalam blog ini mungkin bukan 100% tepat. Sekian.


Admin - Buah cempedak di luar pagar, Ambil galah tolong jolokkan, Saya budak baru belajar, Kalau salah tolong tunjukkan.